Berita Harian, Selasa, 13 Jun 2006

Kem Renjer Semai Sikap Cintai Alam

Oleh Noor Azlina Zainudin
Seramai 58 orang murid mengisi masa lapang sempena cuti sekolah pertengahan tahun dengan menyertai Kem Renjer Alam Semula Jadi anjuran Persatuan Bomba dan Penyelamat Sukarela Malaysia (MVFRA) di Taman Rimba, Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Program sehari diperkenalkan sejak tiga tahun lalu itu bertujuan mendedahkan murid dengan keindahan dan kepentingan memelihara alam semula jadi.

Penyelaras kem, Puan Ellene Fadzillah Ahmad, berkata program itu bertujuan memupuk semangat cintakan alam semula jadi di kalangan murid sekolah rendah supaya apabila dewasa kelak, mereka menjadi pelapis bagi memastikan keseimbangan alam terpelihara.

Katanya, program itu juga memberi peluang peserta mengisi masa terluang dengan aktiviti berfaedah selain menggalakkan mereka bertukar pandangan dengan rakan yang baru dikenali.

Selain itu, menurut Puan Ellene, peserta turut dilatih agar sentiasa bekerjasama dalam kumpulan dan berdikari semasa menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Puan Teresa Lim (kiri) membantu peserta memasukkan air ke dalam buluh untuk merebus telur.

“Program bermula pada jam 9.30 pagi di mana peserta dibahagikan kepada lapan kumpulan yang diberikan nama karektor dalam filem animasi The Lion King iaitu Simba, Scar, Nala, Timon, Sarabi, Mufasa, Zazu dan Pumbaa.

“Antara aktiviti menarik yang dijalankan ialah menghias nama kumpulan menggunakan bahan yang diperoleh daripada alam semula jadi seperti arang, batu, ranting dan daun, merentas sungai menggunakan tali dan membina unggun api.

“Peserta turut berpeluang belajar masak ala hutan seperti merebus telur dalam buluh, membakar ikan, sosej dan jagung, memanggang ayam, membuat tangga menggunakan ikatan tali, mengendalikan rakit buluh dan menghasilkan `jungle torch’ (lampu hutan),” katanya.
 

Puan Ny Yee Tyan (tiga dari kanan) menunjukkan cara menyalakan api lilin menggunakan ranting kayu kepada peserta kem.


Seorang peserta, William Varughese, berkata aktiviti yang paling menyeronokkan ialah merentasi sungai menggunakan tali dan bekerjasama mengendalikan rakit

 buluh.

Selain itu, katanya, dia juga diajar cara memastikan mancis tidak basah walaupun berada dalam air bagi tempoh yang lama.

Bagi Sara Mizuan, aktiviti paling menarik baginya ialah ‘treasure hunt’ di mana mereka perlu mencari bahan yang telah disembunyikan oleh koordinator di kawasan khemah.

Katanya, suasana kecoh apabila ramai peserta yang tidak mengenali bahan yang perlu dicari seperti petai, bunga kantan, serai, jantung pisang, kunyit dan halia.

BACK TO HOMEPAGE

Copyright © MVFRA. All Rights Reserved.
Questions or comments?
Send email to
mvfra_anita@hotmail.com