UTUSAN MALAYSIA ,
2007/06/17
Pembantu rumah cuba lari dari tingkat 15
KUALA LUMPUR 16 Jun – Akibat tidak tahan didera sejak empat bulan lalu,
seorang pembantu rumah warga Indonesia hari ini nekad melarikan diri
dengan turun melalui tingkap rumah majikannya di tingkat 15 sebuah
kondominium di Sentul Indah di sini menggunakan kain dan pakaian yang
disambung-sambung.
 |
|
*Gambar 1: NEKAD...Samerin,
seorang pembantu rumah warga Indonesia, yang dipercayai tidak tahan
didera cuba melarikan diri dari rumah majikan dengan menggunakan
kain yang disambung di sebuah kondominium di Sentul Indah, Kuala
Lumpur, semalam.
*Gambar 2: Anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat
Sukarela Malaysia berusaha menyelamatkan Samerin sambil diperhatikan
oleh beberapa orang penghuni di tingkat bawah sebuah kondominium di
Sentul Indah, Kuala Lumpur.
*Gambar 3: Samerin diselamatkan dan
dibawa masuk ke dalam salah sebuah unit di tingkat bawah kondominium
di Sentul Indah, Kuala Lumpur.
|
Bagaimanapun, tindakan mangsa dilihat seorang pengawal keselamatan
kondominium itu yang kebetulan meronda di tingkat bawah kawasan tersebut
pada kira-kira pukul 11 pagi ini. Dia yang menyangkakan wanita itu ingin
membunuh diri bergegas meminta bantuan Pasukan Bomba dan Penyelamat
Sukarela Malaysia (MVFRA) yang kebetulan sedang mengadakan latihan
kebakaran di bangunan berhampiran.
Pengarah Pusat Latihan MVFRA, K. Balasupramaniam memberitahu, beliau
sedang menyampaikan ceramah di bangunan berdekatan apabila seorang
pengawal keselamatan memaklumkan kepadanya mengenai kejadian tersebut.‘‘Ketika kami tiba di tempat kejadian, mangsa sedang bergayut di tali
yang disambung-sambung menggunakan baju, tuala mandi, selimut, seluar dan
seluar dalam di tingkat 12 kondominium itu.
‘‘Saya ingat mangsa mahu membunuh diri, tetapi ketika kami berjaya
membawanya turun, kami lihat mukanya dipenuhi lebam-lebam,’’ katanya
ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Katanya, selepas diselamatkan, mangsa yang hanya dikenali sebagai
Samerin, 30-an mendakwa dia didera majikannya, seorang wanita berketurunan
Cina, sejak mula bekerja pada Februari lalu.
Katanya, Samerin menyatakan bahawa dia sudah tidak tahan menanggung
penderitaan itu dan nekad melarikan diri melalui tingkap.
‘‘Kedua-dua mata dan muka mangsa lebam serta calar selain terdapat
kesan lebam di lehernya seperti dicekik.
‘‘Mangsa juga dalam keadaan lemah dan kurang bermaya ketika itu,’’
ujarnya.
Tambah Balasupramaniam, sejurus selepas diselamatkan, beliau membawa
mangsa ke Ibu Pajabat Polis Daerah (IPD) Sentul bagi membuat laporan polis
mengenai penderaan tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner K. Kumaran
ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
‘‘Kita sedang menyiasat perkara ini dan belum menahan majikan mangsa.
Sekiranya perlu, kita akan menahannya kemudian,’’ katanya.
Dalam pada itu, Samerin ketika ditemui di pekarangan IPD Sentul
memberitahu, dia mula mengikat baju, tuala mandi, selimut, seluar dan
seluar dalam kira-kira setengah jam sebelum kejadian.
‘‘Saya ikat senyap-senyap kemudian turun,’’ ujarnya.
Mangsa mendakwa kali terakhir dia dipukul majikannya ialah pagi ini
menyebabkannya tidak tahan lalu mengambil keputusan menyelamatkan
diri.