HARIAN METRO , 2007/06/19
Dibogel majikan dalam bilik air
Oleh Zainal Zawawi Mohamed dan Sri Ayu Kartikawati Amri

KUALA LUMPUR: “Setiap dua atau tiga hari saya akan dibogelkan majikan di dalam bilik air, sebelum dibelasah sehingga berdarah mata,” kata Ceriyati Dapin, 33, pembantu rumah warga Indonesia yang nekad menuruni tingkat 16 sebuah kondominium di Sentul Indah di sini, dengan mengikat beberapa pakaiannya untuk dijadikan tali dalam cubaan melarikan diri daripada majikannya itu.

Menurut Ceriyati, dia tinggal bersama majikannya itu sejak awal Januari lalu dan majikannya sering memukulnya menggunakan kerusi plastik, selain ditumbuk.

“Majikan sering menyeksa saya seperti binatang dan sanggup memberi roti yang dibuang selama lima hari berturut-turut sebagai tanda hukuman yang dijatuhi ke atas saya.

“Setiap kali saya sedang mengemas rumah, majikan akan melihat setiap tugasan yang diberikan dan apabila terdapat sedikit kesalahan dia akan mengambil tindakan membelasah saya,” katanya ketika ditemui di Kedutaan Indonesia di Jalan Tun Razak sini, semalam.


Beliau berkata, majikan wanita itu sering mencari pasal ketika dia membersihkan rumah bagi membolehkan dia dibogelkan, sebelum dibelasah dengan tangan seperti tinju.

“Majikan kerap kali mengambil tindakan membogelkan saya sebelum dibelasah seperti sudah menjadi satu hobinya.

“Ketika itu saya hanya mampu bersabar sambil menahan kesakitan akibat ditumbuk wanita itu dan selepas puas dia akan beredar daripada bilik air itu,” katanya sambil menitiskan air mata kerana terlalu rindu dua anaknya berikutan tidak dapat menghubungi mereka sejak kira-kira lima bulan lalu.

Ceriyati berkata, dia bertindak nekad untuk melarikan diri daripada majikannya itu berikutan tidak tahan didera selain mengalami tekanan perasaan.

Apabila ditanya pernahkah majikan itu menghidangkan sisa makanan kepadanya, Ceriyati berkata, dia pernah mengambil sisa makanan di dalam tong sampah untuk di makan akibat terlalu lapar tetapi perbuatannya hanya diperhatikan majikannya.

Bagaimanapun, katanya, sebaik memerhatikan perbuatan itu, majikannya kemudian terus merampas sisa makanan itu dan memintanya menahan lapar.

Ahad lalu Metro Ahad melaporkan, seorang pembantu rumah warga Indonesia nekad menuruni tingkat 16 sebuah kondominium di Sentul Indah di sini, dengan mengikat beberapa pakaiannya untuk dijadikan tali dalam cubaan melarikan diri daripada majikannya.

 

BACK TO : HOMEPAGE | PREVIOUS PAGE

Copyright © MVFRA. All Rights Reserved.
Questions or comments?
Send email to
mvfra_anita@hotmail.com