BERITA HARIAN ,
2007/06/17
Mangsa dera nekad turun 16 tingkatOleh Nurhayati Abllah
KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah warga Indonesia
nekad menuruni tingkat 16 sebuah kondominium di Sentul Indah di sini,
dengan mengikat beberapa pakaiannya untuk dijadikan tali dalam cubaan
melarikan diri daripada majikannya, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, wanita
berusia 33 tahun itu dikenali sebagai Samerin, dipercayai mangsa dera
majikannya, keluar menerusi tingkap kondominium di tingkat 16 bangunan 30
tingkat itu, tetapi sebaik memijak tepi dinding tingkat 13, wanita itu
dikatakan ketakutan dan tidak meneruskan tindakannya.
Pengerusi
Persatuan Bomba Sukarela Wilayah Persekutuan, S Bala, ketika dihubungi
berkata, kejadian itu disedari orang ramai selepas melihat wanita itu
berdiri di tepi dinding dengan memegang erat tali itu.
“Mangsa yang
dipercayai dalam keadaan tertekan menggunakan pakaiannya termasuk tuala,
selimut dan pakaian dalam yang disambung untuk dijadikan tali sebelum
melemparkannya ke bawah,” katanya.
Beliau berkata, sepasukan ahli
Persatuan Bomba Sukarela yang kebetulan mengadakan program di tempat
kejadian bergegas menyelamatkan mangsa sebaik menerima aduan orang
ramai.

“Mangsa berjaya diselamatkan menggunakan tali yang
diikat pada badannya sebelum dibawa masuk melalui tingkap kondominium di
tingkat 12. Mangsa yang berjaya diselamatkan itu kelihatan lemah dan ada
kesan luka serta lebam di leher, muka serta matanya,” katanya.
Bala
berkata, mangsa kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk
membuat laporan.
Pembantu rumah itu dipercayai dipukul majikannya
dan tidak membenarkan menjamah nasi jika melakukan kesalahan.
Mangsa ketika ditemui mendakwa sering dibelasah oleh
majikannya walaupun sudah melakukan kerja rumah seperti yang
diarahkan.
“Saya mula bekerja dengan majikan saya sejak Februari
lalu. Hampir setiap hari saya dikasari tanpa sebab. Saya tidak pasti apa
masalah dihadapinya, tetapi saya tidak sanggup lagi tinggal di rumah
itu.
“Sebab itulah saya membuat keputusan nekad untuk turun 16
tingkat dengan membuat tali walaupun saya sedar tindakan itu boleh
mengancam nyawa saya. Saya terpaksa sebab tidak tahan lagi menanggung
derita tinggal dengannya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis
Daerah Sentul, Asisten Komisioner K Kumaran ketika dihubungi, berkata
polis akan memanggil majikan wanita itu pada bila-bila masa untuk membantu
siasatan.