JG terbesar daripada 12,000 botol air mineral
dicipta
UTUSAN MALAYSIA ISNIN 16 OGOS,
1999
KUALA LUMPUR 15 Ogos- Bahang sambutan ulang tahun ke-42
kemerdekaan negara terus terasa apabila Persatuan Bomba dan
Penyelamat Sukarela Malaysia (MVFRA) hari ini berjaya menyiapkan
pembinaan Jalur Gemilang (JG) terbesar yang diperbuat daripada
botol-botol air mineral.
Bendera bersaiz 25.6 meter panjang serta 11.52 meter lebar itu
menggunakan 12,000 botol air mineral terpakai dan dianggarkan seberat
dua tan.
Kejayaan itu juga sekaligus membolehkan projek berkenaan
dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records sebagai bendera
terbesar pernah dicipta oleh rakyat negara ini menggunakan
botol plastik terpakai.
Pengerusinya, K.Balasupramaniam berkata, projek anjuran pihaknya
dengan kerjasama Plaza Uncang Emas itu dimulakan sejak 29 Jun
lalu menggunakan tenaga 115 sukarelawan terdiri daripada anggota
MVFRA dan para pelajar Sekolah Menengah Taman Maluri di sini.
Menurut beliau, dalam proses menyiapkan bendera terbabit
sebanyak 20,000 botol air mineral terpakai telah dikumpulkan
hasil sumbangan orang ramai selain yang dikutip sendiri oleh
semua sukarelawan terlibat.
Bagaimanapun daripada keseluruhan botol yang dikumpulkan, hanya
12,000 botol bersaiz 1.5 mililiter yang sesuai digunakan.
“Setelah 45 hari bertungkus-lumus dengan bekerja tujuh jam
sehari, akhirnya ia berjaya disiapkan walaupun pada peringkat
awal kami merasakan projek ini akan gagal.
“Mungkin kejayaan ini hasil keyakinan sukarelawan terhadap
slogan Malaysia Boleh,” katanya kepada Utusan ketika ditemui di
sini hari ini.
Balasupramaniam berkata, sebanyak RM20,000 telah dibelanjakan
untuk menyiapkan bendera berkenaan, hasil sumbangan syarikat
pengurusan pusat membeli-belah terbabit.
Menurut beliau, idea membina bendera yang unik itu lahir setelah
melihat semangat patriotisme di kalangan generasi muda kini
semakin luntur.
Esok, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,
Datuk Seri Megat Junib Megat Ayub akan merasmikan bendera
berkenaan untuk tatapan umumdi pusat membeli-belah Plaza Uncang
Emas