300 Kanak-kanak Jalani Latihan Cegah Kebakaran

Oleh Hasnira Hassan dan Noor Azlina Zainudin
Kira-kira 300 orang kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun tidak melepaskan peluang mengisi masa cuti hujung minggu baru-baru ini dengan menjalani latihan sebagai duta kecil pencegah kebakaran di pusat beli-belah Dataran Pahlawan, Melaka.

Pada Bengkel Kelab Keselamatan Kebakaran Kanak-Kanak anjuran Persatuan Bomba dan Penyelamat Sukarela Malaysia (MVFRA), peserta diberi pendedahan terhadap kaedah membasmi dan menyelamatkan diri jika berlaku kebakaran.

Antara latihan yang diberi ialah teknik memadam kebakaran pakaian dengan cara menggulingkan badan, merangkak di dalam bangunan terbakar atau diselubungi asap tebal serta kaedah menyelamatkan mangsa.

Pengerusi MVFRA, Encik K Balasupramaniam, berkata program pendedahan itu disasarkan terhadap kanak-kanak yang mudah dilatih bagi memberi mereka pendedahan dan tanggungjawab sebagai duta kebakaran di rumah masing-masing.

Katanya, program itu diperkenalkan oleh MVFRA pada tahun 1999 bertujuan mendidik generasi muda mengenai aspek keselamatan semasa kebakaran dan mempelajari cara terbaik menyelamatkan diri jika berlaku kebakaran, terutama di rumah.

“Setiap aktiviti dijalankan dalam bentuk interaktif, permainan dan diiringi muzik supaya peserta tidak bosan dan dapat belajar dengan lebih cepat.

“Malah, peserta diberi peluang menaiki trak bomba untuk memberi mereka pengetahuan dan pengalaman baru,” katanya.

Menurut seorang peserta, Teh Zhi Yong, program yang disertai buat kali pertama itu memberinya banyak maklumat baru terutama tidak panik semasa menghadapi situasi kebakaran.

“Kakak yang suruh saya sertai program ini. Ternyata ia menyeronokkan kerana saya bukan saja dapat belajar, tetapi juga bermain bersama rakan yang lain serta mendapat hadiah.

“Kini saya tidak takut lagi menghadapi suasana kebakaran kerana sudah tahu apa perkara yang harus saya lakukan. Saya akan menyampaikan maklumat ini kepada keluarga dan rakan-rakan,” kata murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ayer Keroh itu.



Tip Mengelak dan Menghadapi Kebakaran di Rumah

* Jangan bermain dengan mancis, pemetik api atau menyalakan api dapur sewenang-wenangnya.

* Jika pakaian disambar api, jangan lari kerana oksigen atau angin akan menyebabkan api itu semakin marak. Gunakan teknik ‘Stop, Drop and Roll’

iaitu berhenti, rebahkan badan dan gulingkan badan ke kiri dan kanan sehingga api itu padam sepenuhnya. Dapatkan rawatan segera.

* Jika asap kelihatan di dalam rumah, merangkak seberapa rendah yang boleh, tutup mata untuk mengelakkan mata pedih dan jadikan dinding sebagai panduan untuk mencari pintu keluar.

* Jangan sekali-kali cuba memadamkan api. Keluar dengan segera dan jangan masuk semula setelah berjaya keluar.

* Tinggalkan mainan dan haiwan peliharaan kerana membawa sesuatu di tangan akan melengahkan masa dan menyukarkan adik-adik merangkak untuk mencari jalan keluar.

* Pastikan kunci pintu dan geriji digantung berdekatan pintu.

* Setelah berjaya keluar, gunakan telefon jiran atau awam untuk menghubungi talian kecemasan 999.

 

 

BACK TO : HOMEPAGE

Copyright © MVFRA. All Rights Reserved.
Questions or comments?
Send email to
mvfra_anita@hotmail.com