|

Usaha
MVFRA perkenal kad data kecemasan disokong
MINGGUAN MALAYSIA, AHAD 6
APRIL 2003
PETALING JAYA 5 APRIL - Kerajaan
menyokong penuh usaha Persatuan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (MVFRA)
memperkenalkan kad data kecemasan bagi memudahkan para penyelamat
mengetahui maklumat peribadi dan perubatan mangsa yang terlibat
dalam sebarang kemalangan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr.
Suleiman Mohamed berkata, kad tersebut akan menyediakan maklumat penting
pemegangnya seperti jenis penyakit, jenis darah serta nombor telefon untuk
dihubungi jika berlaku kemalangan ke atas pemegangnya.
"Ini langkah yang bagus dan kerajaan menyokong
penuh usaha sedemikian demi kebaikan semua pihak," katanya pada sidang
akhbar selepas majlis pelancaran kad tersebut di sini hari ini.
Tambahnya, dalam kebanyakan kes yang berlaku
sekarang, pasukan penyelamat hanya berpandukan kepada maklumat yang
terdapat dalam kad pengenalan mangsa yang biasa tidak lagi boleh digunakan.
Justeru katanya, kad data kecemasan itu sesuai
digunakan oleh semua pihak terutamanya kanak-kanak yang belum mempunyai
sebarang tanda pengenalan. Bagaimanapun katanya, kerajaan sendiri telah mengambil langkah yang sama
dengan memuatkan maklumat kesihatan peribadi di dalam Mykad.
Menurut Pengerusi MVFRA, Kapten K.
Balasupramaniam, pihaknya akan mengedarkan kad tersebut secara percuma
pada setiap hari Sabtu dan Ahad di beberapa pusat membeli belah sekitar
Lembah Klang. Ujarnya, bagi mereka di
luar Lembah Klang yang ingin mendapatkan kad tersebut boleh menghubungi
MVFRA di talian telefon 03-97790994. Sementara itu, Dr. Suleiman terut mengingatkan orang ramai supaya lebih
berhati-hati berhubung virus SARS yang sedang melanda rantau ini.
Wabak tersebut katanya mungkin dapat dielak
sekiranya orang ramai mengikut segala arahan yang dikeluarkan oleh
Kementerian Keseihatan termasuk mengelak daripada pergi ke negara-negara
yang dilanda virus SARS.
|