Kawasan perumahan Pandan
lokasi kritikal serangan denggi
UTUSAN MALAYSIA, 16 January 2005
KUALA LUMPUR 16
Jan. - Kawasan perumahan Pandan Jaya, Cheras, di sini dikenal pasti
sebagai lokasi kritikal serangan demam denggi berikutan dua kes kematian
yang dicatatkan di situ sejak dua minggu lalu.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan,
Datuk Ong Tee Keat berkata, selain itu kawasan Pandan Jaya juga sehingga
kini mencatat 27 kes denggi yang telah dirujuk ke klinik dan hospital.
``Berikutan itu saya bersama
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya Skuad Kecemasan Komuniti telah
mengambil langkah turun padang melawat dan bertindak mengatasi punca
serangan denggi di Pandan Jaya,'' katanya yang juga Ahli Parlimen Pandan.
Menurutnya, jangkitan denggi itu
banyak dikesan berlaku di kawasan perumahan flat Blok L, Pandan Jaya.
Beliau berkata, penduduk tempatan
dan parti politik dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)
kini aktif menjayakan gotong-royong terutama membersihkan kawasan takungan
air yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes di taman-taman perumahan
sekitar Ampang dan Cheras.
Beliau memberitahu demikian pada
sidang akhbar selepas melawat mangsa denggi di wad Hospital Pantai Indah
di Pandan Indah, di sini hari ini.
Menurut Tee Keat, laporan
daripada Hospital Pantai Indah juga menunjukkan sehingga kini sebanyak 27
kes denggi telah dirujuk ke hospital swasta itu.
``Saya juga merakamkan
penghargaan kepada Hospital Pantai Indah ini kerana memberikan kerjasama
pemeriksaan darah secara percuma kepada pesakit yang disyaki mengalami
denggi,'' ujarnya.
Di samping itu katanya, beberapa
NGO yang diketuai Persatuan Bomba dan Penyelamat Sukarela Malaysia akan
memulakan kerja membantu mengatasi masalah denggi di Pandan Jaya mulai 25
Januari ini.
Tee Keat berkata, fokus bantuan
yang akan diberikan oleh NGO itu ialah dari segi khidmat nasihat dan
membersihkan kawasan pembiakan nyamuk aedes sebagai penyebar virus demam
denggi.
``Saya juga akan meminta bantuan
semua sekolah rendah dan menengah di kawasan Parlimen Pandan ini untuk
menyebarkan risalah pencegahan denggi melalui para pelajar supaya
penerangan lebih meluas apabila ia dibawa pulang ke rumah masing-masing,''
katanya.