Kempen Keselamatan Menunggang Basikal

Berita Harian, Rabu, 22 Mac 2006

Oleh Noor Azlina Zainudin
Seramai 120 orang kanak-kanak sekolah rendah tidak melepaskan peluang mempelajari aspek keselamatan dan pemanduan berhemat dengan menyertai Program Keselamatan Menunggang Basikal di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Aktiviti di bawah Program Pendidikan Keselamatan Kanak-kanak itu dianjurkan oleh Persatuan Bomba dan Penyelamat Sukarela Malaysia (MVFRA).

Pegawai Perhubungan Awam MVFRA, Encik Md Rodzi Saad, berkata program
keselamatan menunggang basikal khusus bagi kanak-kanak itu dilancarkan pada 2003 .

Katanya, program itu bertujuan mengasuh dan membimbing kanak-kanak agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya semasa menunggang basikal.


“Antara aspek yang dititikberatkan ialah keselamatan, cara menunggang yang betul serta memahami arahan dan papan tanda jalan raya.

“Bagi aspek keselamatan, peserta ditekankan kepentingan memakai topi keledar bagi memastikan tahap kecederaan yang dialami penunggang adalah minimum sekiranya berlaku kemalangan,” katanya.

Menurut Encik Md Rodzi, penekanan mengenai aspek keselamatan semasa berada di jalan raya perlu diterapkan dalam diri kanak-kanak sejak awal kerana pada tahap itu mereka masih mudah untuk diasuh.

Tambahan pula, katanya, ribuan kanak-kanak di seluruh negara menunggang basikal untuk ke sekolah setiap hari dan mereka terdedah dengan risiko kemalangan setiap kali berada di jalan raya.

“Menerusi program ini, peserta dilatih untuk berdisiplin dengan sentiasa mematuhi peraturan selain diajar pelbagai cara menunggang yang betul seperti tidak bersaing dan berhenti apabila menghampiri simpang,” katanya.


Peraturan dan Tip Ketika Menunggang Basikal
  Sentiasa memakai topi keselamatan yang padan dengan kepala.
  Gunakan isyarat tangan yang betul.
  Untuk menukar laluan, perhatikan dahulu sebelah kiri dan kanan. Pastikan laluan yang anda ingin masuk kosong dan perhatikan kiri kanan sekali lagi sebelum menukar laluan.
  Jangan menunggang berhampiran kenderaan besar seperti lori atau bas dan elakkan laluan yang sibuk.
  Jangan menunggang semasa hujan atau pada waktu malam.
  Sentiasa mematuhi peraturan dan papan tanda jalan raya.
  Jangan bersaing atau berlumba.
  Pakai kasut yang sesuai dan elakkan seluar yang besar di bahagian bawah untuk mengelakkan ia tersangkut ke dalam rantai atau tayar.

BACK TO HOMEPAGE

Copyright © MVFRA. All Rights Reserved.
Questions or comments?
Send email to
mvfra_anita@hotmail.com