RENCANA UTAMA
24 Januari 2008
Cari
sampai ke New York
Sesiapa sahaja yang mengunjungi pejabat Malaysian Volunteer Fire And Rescue
Associate (MVFRA), yang terletak di Taman Maluri, Kuala Lumpur, pasti akan
tertarik pada koleksi jentera kecemasan di situ.
Jika kanak-kanak menjadikannya sebagai alat permainan, tetapi lelaki ini
lebih rela memilih replika jentera bomba sebagai hobi dalam memperjuangkan misi
bantuan kemanusiaannya.
Demi merealisasikan impiannya selama ini, seorang aktivis keselamatan
merangkap Kapten MVFRA, K. Balasupramaniam, begitu obses terhadap pengumpulan
koleksi jentera peribadinya yang kini sudah pun mencecah lebih 500 kesemuanya.
Susun atur miniatur pelbagai jentera kecemasan yang dipamerkan di dalam rak
plastik yang direkanya sendiri membuktikan bahawa Balasupramaniam atau lebih
mesra dengan panggilan Bala, mempunyai mesej tersendiri untuk disampaikan kepada
seluruh masyarakat Malaysia.
Walaupun bagi sesetengah orang, ia satu ‘kerja yang tidak masuk akal’. Namun,
dia menganggap setiap kata-kata yang dilemparkan sebagai pembakar semangat
untuknya meneruskan minat itu.
Malah, dia cukup berbangga dengan semua koleksi istimewa itu.
Pemuda India yang fasih berbahasa Melayu dan gemar mengenakan pakaian
berwarna serba hitam ini mula mengumpul barangan tersebut sejak tahun 1999 iaitu
ketika berusia 25 tahun.
Ini kerana, dia mendapati koleksi kenderaan kecemasan seperti jentera bomba
dan penyelamat serta ambulans mempunyai keunikan dan keistimewaan yang
tersendiri.
Setelah lebih lima tahun mengumpulnya, tidak hairanlah jika koleksi itu kini
sudah mencecah lebih 500 buah.

BALA sanngup mencari miniatur jentera bomba ke serata
dunia.
Berkongsi pengalaman sewaktu mula meminati barangan mainan tersebut, jelas
Bala, pada mulanya dia sekadar membeli jentera bomba mainan bersaiz kecil
daripada model match box bernilai RM9.90, di salah sebuah pusat beli-belah di
ibu kota.
“Ketika itu, saya berhasrat menjadikan kereta mainan ini sebagai barangan
hiasan di pejabat, tanpa memikirkan fungsi dan kelebihannya. Minat hadir sewaktu
kunjungan seorang kanak-kanak bersama kedua ibu bapanya di sini.
“Kanak-kanak itu tertarik pada kereta mainan yang disusun di atas rak dan
mula bertanyakan pelbagai soalan tentangnya. Menyedari ia menjadi medium terbaik
untuk menyampaikan mesej keselamatan, saya mula mengumpul barangan mainan ini
sedikit demi sedikit.
“Selain membelinya sendiri, kebanyakan jentera yang dipamerkan ini adalah
hasil pemberian daripada rakan-rakan,” katanya sambil memberitahu anggaran harga
kereta mainan itu mencecah antara RM8 hingga RM1,500 sebuah.

NILAI jentera kecemasan yang dibeli Bala bermula dari harga
RM8 hingga RM1,500 sebuah.
Bagi Bala, dia tidak gemar menilai sesuatu barang melalui harga, asalkan ia
didatangkan dalam bentuk kereta bomba, beliau akan mendapatkannya. Malah,
kesungguhannya itu jelas dapat dilihat apabila dia juga sanggup membeli miniatur
itu menerusi internet.
Jika dilihat pada variasi reka bentuk jentera bomba, kita pasti
tertanya-tanya di mana beliau membelinya? Untuk mendapatkan kepastian, Bala
memberitahu, kebanyakan kereta bomba itu dibelinya dari negara luar seperti New
York, Jepun, Singapura, Iran.
“Saya dapati ada sedikit kekurangan penjualan kereta bomba bersaiz besar di
pasaran Malaysia, jadi saya mengambil keputusan untuk mendapatkannya di negara
luar.
“Kunjungan saya ke luar negara bukan sahaja memberi peluang kepada saya
menikmati keindahan dan keunikan tempatnya tetapi untuk mencari barangan yang
diminati,” ujarnya sambil memberitahu, sekiranya terdapat barangan yang sama
jenis dan reka bentuk, dia akan menghadiahkan kepada sesiapa sahaja kanak-kanak
yang mengunjungi pejabatnya.
Ditanya apakah keistimewaan yang terdapat pada sebuah replika jentera bomba?
Kata Bala, ia memperlihatkan suatu simbolik dan impak yang besar kepada seluruh
masyarakat, walau di mana mereka berada.
“Tidak kira kanak-kanak mahupun warga tua, mereka pasti terpegun melihat
kehadiran kereta bomba meskipun jentera itu berada di atas jalan.
“Ini sedikit sebanyak memberi dorongan kepada saya untuk meneruskan minat
mengumpul kereta-kereta kecemasan terutama jentera bomba.
“Malah, ia juga dapat menambahkan pengetahuan kepada kanak-kanak tentang
fungsi dan peranannya sekali gus dapat meningkatkan kesedaran kepada diri
mereka,” katanya.
Menurut Bala, minatnya itu bukan sekadar satu karier tetapi semata-mata
kerana hobi.
Bagi Bala, hobi sahaja tidak mencukupi untuk dirinya digelar sebagai
pengumpul jentera kecemasan. Gelaran sebesar itu memerlukan kajian yang lebih
mendalam terhadap kefungsian dan peranan yang terdapat pada jentera bomba dan
penyelamat.

Namun, beliau tidak lokek untuk menerangkan kategori yang terdapat pada
kesemua jentera-jenteranya itu. Kata Bala, terdapat tiga kategori jentera yang
dikumpul.
Antaranya ialah model match box yang didatangkan dalam rangkaian yang kecil
manakala model low range pula adalah jentera jenis plastik manakala high range
adalah jentera yang diperbuat daripada kayu, besi dan mempunyai sijil
piawaian.
Kajiannya juga melibatkan cara penjagaan enjin, badan dan sejarah pengenalan
jentera tersebut. Sehingga kini, kos penyelenggaraan kesemua barangan mainan itu
mencecah hampir RM50,000.
“Saya sentiasa menitik beratkan setiap koleksi yang dimiliki. Paling penting,
untuk mengekalkan ketulenan pada warna asalnya, saya menggunakan penyedut angin
untuk menyapu habuk dan membersihkan badannya,” kata Bala.
Setiap koleksi yang dikumpul mempunyai nilai estetika yang tersendiri.
Jentera paling disayangi adalah sebuah kereta bomba pemberian daripada
rakan-rakan setugasnya pada tahun lalu.
“Mempunyai reka bentuk yang unik, kehalusan cara pembuatan yang sangat tinggi
dan eksklusif memberi impak kepada diri saya.
“Didatangkan dalam rangkaian high range, kereta bomba kesayangan saya ini
mempunyai ciri-ciri luar biasa sehingga membuatkan saya takut untuk
menyentuhnya,” ujar Bala yang memberitahu beliau tidak akan menjual kesemua
koleksi peribadinya itu.
Menariknya semua koleksi tersebut akan disumbangkan kepada Akademi
Keselamatan Kanak-kanak (A3K) yang ingin ditubuhkannya nanti.