Ramai Tak Perihatin
UTUSAN MELAYU, APRIL 1998
CHERAS : Kebanyakan pengguna jalan raya masih enggan memberi bantuan kepada
mangsa kemalangan walaupun mengetahui mangsa perlu segera mendapatkan rawatan.
Sikap tidak perihatin sesetengah masyarakat seumpama dikatakan menjadi punca
mangsa jalan raya lewat menerima rawatan di hospital sehingga menyebabkan
kecederaan teruk dan kematian.
Perkara ini didedahkan oleh Pengerusi Persatuan Bomba Dan Penyelamat Sukarela
Malaysia, K. Balasupramaniam Krishnan dari beberapa kajian yang dilakukan oleh
pihaknya.
Menurutnya, dalam dua kajian yang dilakukan, menunjukkan kebanyakan pengguna
jalan raya yang melalui lokasi kemalangan, lebih berminat untuk menjadi "penonton"
dan hanya mengajukan soalan sama ada mangsa masih hidup atau sebaliknya.
 |
| HANYA LAKONAN......'mangsa
kemalangan' menunggu untuk dibantu oleh orang ramai dalam kajian
Persautan Bomba Dan Penyelamat Sukarela Malaysia. |
"Selepas itu mereka akan meninggalkan lokasi kemalangan tanpa sebarang
bantuan," katanya.
Menurut Bala, dalam kajian dua minggu lalu di Taman Bukit Anggerik di sini,
seramai 78 pengguna jalan raya menghentikan kenderaan mereka di lokasi kejadian
tetapi hanya 17 yang memberikan bantuan sama ada untuk memberi rawatan kecemasan,
menghubungi hospital dan bomba atau bersetuju untuk menghantar mangsa je
hospital menggunakan kenderaan mereka.
"Sementara itu, dalam kajian di Lebuh Raya berhampiran Bandar Tun Razak
semalam, juga menunjukkan sikap tidak prihatin orang ramai, daripada 93 pengguna
yang berhenti, hanya 17 yang menghulurkan bantuan," katanya.
Menurut Bala, alasan seperti sudah lambat ke tempat kerja, tidak tahu
pertolongan cemas (CPR), terpaksa membuat laporan ke balai polis adalah alasan
yang sering digunakan.
"Malah ada juga yang memberi alasan kenderaan mereka akan kotor jika memberi
bantuan," katanya.
Sehubungan itu, persatuan akan menubuhkan Pasukan Penyelamat Bermotosikal
yang memberi pertolongan cemas kepada mangsa kemalangan bermula Ogos ini.
"Program ini adalah formula terbaik bagi mengatasi masalah dan kami
menjangksakan 5000 penunggang motorsikal dari Kuala Lumpur dan Selangor akan
menyertainya menjelang akhir thaun 1998," katanya.
Menurutnya, Pasukan berkenaan akan diberi latihan mengenai pertolongan cemas,
cara memadam api dan mengawal lalu lintas dalam masa sehari sebelum menerima kad
ahli dan pelekat pengenalan yang akan ditampal di motosikal mereka.
"Penubuhan pasukan ini juga sebagai satu galakan untuk penunggang motosikal
lebih berhati-hati ketika memandu kerana mereka adalah pengguna jalan raya
berisiko tinggi berbanding pengguna kenderaan empat roda," katanya.